Make your own free website on Tripod.com

PENDAHULUAN

Kampong Sengkarai Tutong, sudah pun mempunyai Balai Ibadat (Surau) sejak tahun 50an dahulu, semasa ketua kampong yang lama iaitu Pengiran Radin Bin Pengiran Dipa Negara Pengiran Jaya, ketua kampong yang pertama pada waktu itu. Beliau telah membina Balai Ibadat itu dengan cara bergotong royong diatas tanahnya sendiri. Setelah beliau meninggal dunia, Balai Ibadat tersebut masih digunakan hingga beberapa tahun kemudian dan disinilah puncanya kesedaran beribadat yang tidak putus-putus hingga kehari ini.


BALAI IBADAT YANG ADA SEKARANG

Bila Balai Ibadat yang lama ini sudah tidak sesuai lagi, kerana keadaannya yang begitu tidak mengizinkan (Bangunannya uzur, tidak boleh menampung ramai orang) maka Ketua Kampong yang baru, telah merancang membuat Balai Ibadat yang baru dan mengubah kedudukan yang lama kepada kedudukan yang baru. Bangunan baru ini dibina berdekatan dengan Balai Raya Kampong Sengkarai diatas Tanah Tol (Tanah Tumpang Sementara) hingga sekarang. Cadangan ini dipersetujui oleh pendudok Kampong Sengkarai dengan membentuk Jawatankuasa pembinaan dengan meminta kebenaran untuk menjalankan derma kepada orang ramai bagi mendapatkan kewangan.

Tahun 1980, derma telah dijalankan dan mendapat sambutan yang baik. Hampir satu tahun iaitu bulan Mac 1981, Balai Ibadat ini telah mula dibina dan selesai pembinaannya pada bulan Jun pada tahun yang sama, dan digunakan pada tahun itu juga. Perbelanjaan dianggarkan berjumlah sebanyak $28,000.00 dengan keluasan tanah seluas ekar. Tanah ini adalah digunakan secara Tanah Tumpang Sementara(TOL). Sekarang telah diambil alih oleh Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Negara Brunei Darussalam. Keluasan Balai Ibadat ini pada asalnya ialah 40 kaki X 45 kaki.

Memandangkan para jemaah dari sehari ke sehari semakin bertambah dan keluasan yang ada sudah tidak boleh menampung jemaah terutamanya apabila Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha, maka timbul pemikiran untuk menambah keluasannya bagi menampung ramai jemaah. Maka jawatankuasa ta'mir Balai Ibadat ini telah meminta kepada Jabatan Hal Ehwal Syariah (Sebelum Jabatan Hal Ehwal Masjid) untuk menambah besar seluas 40 kaki X 30 kaki. Akhirnya Jabatan Hal Ehwal Syariah meluluskan untuk membuat tambahan tersebut pada tahun 1987. Memandangkan juga masaalah dapur untuk mengadakan majlis-majlis dan tandas, maka ahli-ahli jawatankuasa ta'mir memikirkan, perlunya ada bangunan dapor dan tandas yang baru. Maka Jabatan Hal Ehwal Syariah sekali lagi meluluskan perbelanjaan bagi pembinaan dapur dan tandas yang baru ini pada tahun 1991 dan sehingga hari ini ianya masih digunakan. Pada tahun 1992 atap yang lama telah diganti dengan atap yang baru yang mana perbelanjaannya juga diberi oleh Jabatan Hal Ehwal Syariah.

Semenjak Balai Ibadat yang baru ini dibina, ia belum mempunyai Pegawai Masjid yang tetap. Pentadbiran dan sembahyang jemaah hanya diimami oleh Pemangku imam iaitu Cikgu Haji Mohd Hanifah Bin Haji Alus (Guru Ugama) sehinggalah pada tahun 1996, Jabatan Hal Ehwal Masjid telah menetapkan seorang Pegawai Masjid (Awang Haji Mohammad Aidil Sufian Bin Mohd Yassin), manakala jawatan bilal dipangku oleh Awang Haji Ibrahim Bin Badar.

Balai Ibadat ini juga kerap kali dan setiap tahun mengadakan malam bertedarus, khatam al-quraan, majlis doa aruah, penutup bertedarus, sambutan-sambutan keagamaan dan negara. Rancangan-rancangan ta'mir seperti halakah ilmu agama, ceramah-ceramah, forum, pertandingan-pertandingan, kursus-kursus dan sebagainya telah diadakan. Memandangkan rancangan ta'mir Balai Ibadat Kampong Sengkarai ini berjalan dengan baik dan tersusun, maka pada tahun 1996 Balai Ibadat ini telah di anugerahkan Masjid Ta'mir dalam kategori Balai-balai ibadat dan Surau-surau seluroh negara.


PERALATAN BALAI IBADAT

Semua peralatan didalam Balai Ibadat ini seperti kipas angin, aircondition, jam besar, meja imam, set kerusi tamu, dan sebagainya, adalah kebanyaknnya diwakafkan oleh orang ramai disamping diberi oleh Kerajaan.

Lain-lain peralatan seperti amplefire, pada awalnya telah disumbangkan oleh Syarikat Shell Brunei Berhad dan yang lain nya diberikan oleh Kerajaan.


PENUTUP

Al-hamdullilah, pada masa ini pendudok Kampong Sengkarai Tutong, tidak lagi bersusah payah untuk bersembahyang di Masjid yang lain, (sebelum adanya Balai Ibadat ini mengadakan sembahyang Jumaat dan fardhu berjemaah). Dan dengan adanya Balai Ibadat ini satu lagi syiar Islam telah dapat ditegakkan, dan InsyaAllah dalam sedikit masa lagi, penduduk-penduduk Kampong Sengkarai Tutong akan mempunyai satu lagi Masjid yang baru, yang mana akan lebih ramai lagi menampung jemaah-jemaah yang semakin hari semakin bertambah.