Pengenalan

Pentadbiran

Peraturan & Waktu Lawatan

Rancangan Takmir

Album / Diari

Maklumat Terkini

Struktur Bangunan

Buku Pelawat

Halaman Utama

 

 

 

 

Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah meliputi kawasan seluas dua puloh ekar persegi. Keseluruhan kawasan masjid ini dipagari dengan kisi-kisi besi buatan tempatan yang mempunyai panjang keseluruhannya kira-kira 1,082 km (3,500 kaki) dengan tujuh pagar pintu masuk, dua buah pagar untuk pintu masuk Diraja dan orang-orang kenamaan dan lima buah pagar untuk orang awam. Pagar pintu masuk utama membawa ke Anjung Diraja melintasi taman dan air pancut dan terus menuju ke dewan sembahyang lelaki dengan menggunakan escalator dan dua tangga marmar yang besar.

Bagi kemudahan para jemaah sebanyak 835 buah tempat letak kereta disediakan serta dua laluan pejalan kaki berbumbung yang menyediakan rak-rak tempat menyimpan kasut untuk para jemaah serta pelawat sebelum memasuki masjid.

Setiap tangga yang menuju masuk ke Dewan Sembahyang mempunyai 29 anak tangga yang  melambangkan pemerintahan Kesultanan Brunei yang ke 29.

Anjung Di Raja Dan Orang-Orang Kenamaan yang menuju Dewan Sembahyang Lelaki..

Salah sebuah dari pintu masuk ke Dewan Sembahyang yang diperbuat daripada kayu Narra Filipina yang berukuran 7 X 12 kaki

Dewan Sembahyang

Dewan Sembahyang Lelaki mempunyai keluasan 60,000 kaki persegi yang boleh menampung sehingga 3500 jema’ah yang diperlengkapi dengan alat penyaman udara. Sebuah mihrab yang dihiasi dengan jubin bersadur emas 24 karat dan batu marmar hitam ditempatkan di sini sebagai penentu arah kiblat. Bersebelahan dengan mihrab ini pula ialah sebuah mimbar yang digunakan sebagai tempat untuk imam atau khatib membaca khutbah

Terdapat sebuah kubah yang mempunyai ukuran garis pusat sepanjang 114 kaki yang dikelilingi dengan hiasan seni khat al Qur'an. Sementara itu di bawah bahagian tengah kubah ini tergantung satu candelier yang diperbuat daripada saduran emas 24 karat serta kaca kristal yang berkualiti tinggi dari Austria. Di samping itu terdapat beberapa candelier lagi yang berukuran kecil dan sederhana yang memberikan lagi daya tarik kepada persekitaran bahagian dalam dewan. Dinding dan turus dewan ini pula dipasang dengan mamar putih yang diimport dari Italy .

Dewan sembahyang ini  dilengkapi dengan kamera video dan system siar raya serta serta sistem bunyi akustik yang dikendalikan oleh sistem komputer yang juga mengawal segala kelengkapan masjid.

Dua buah versi kitab suci al Qur’an tulisan tangan yang besar berumur kira-kira 200 tahun yang merupakan sebahagian daripada koleksial Qur'an  Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan Dan Yang Di Pertuan Negara Brunei Darussalam tersimpan di Dewan Sembahyang Lelaki. Versi-versi al Qur'an ini disumbangkan kepada baginda oleh Perdana Menteri Republik Islam Pakistan Muhtarma Benazir Bhutto semasa lawatan rasmi beliau ke Negara Brunei Darussalam pada tahun 1996.

Dewan Sembahyang Perempuan boleh menampung sehingga 1000 orang jemaah. Hampir kesemua hiasan, kelengkapan dan reka bentuk dewan ini seperti kubah berhias, candelier dan hiasan mamar puteh adalah sama seperti apa yang terdapat di Dewan Sembahyang Lelaki cuma ianya berukuran lebih kecil sedikit. Bagaimana pun dewan ini tidak mempunyai mihrab dan mimbar sebagaimana yang terdapat di Dewan Sembahyang Lelaki. Oleh yang demikian untuk kemudahan jemaah perempuan mendengar dan melihat khatib membaca khutbah, sebanyak empat biji peti televesyen disediakan di dewan ini yang biasanya digunakan sewaktu menunaikan sembahyang fardhu Jum'at dan juga Sembahyang Hari Raya.

 

Kubah besar atas tangga marmar yang menuju ke lobi tingkat pertama, menambah lagi keindahan ruang legar.

Lima air pancut di ruang legar bersebelahan tangga yang membawa pengertian kepada lima rukun Islam dan waktu sembahyang fardhu lima kali sehari.

 

Bilik wuduk bagi jemaah lelaki yang menggunakan dua sistem, automatik yang menggunakan sensor dari USA dan manual di samping hiasan air pancut yang menarik.Sistem serta hiasan yang sama juga terdapat bagi bilik wuduk perempuan yang terletak bersebelahan

Kubah terbesar terletak betul-betul di atas Dewan Sembhayang Lelaki yang diliputi dengan kemasan mozek emas dengan puncak bersadur emas. Kubah yang sama yang bersaiz lebih kecil pula terletak di atas Dewan Sembahyang Perempuan.Terdapat 29 buah kubah semuanya (besar dan kecil) yang melambangkan pemerintahan Kesultanan Brunei yang ke 29. Manakala itu terdapat empat buah menara dibina di sekeliling masjid yang berukuran lebih kurang 189 kaki tinggi dengan puncak berukuran 5 kaki tinggi. Setiap menara mengandungi 297 anak tangga. Melalui menara-menara ini kita dapat melihat pemandangan sekitar masjid dan juga pemandangan Bandar Seri Begawan dan Kampong Ayer yang menarik.

Hiasan air pancut yang dilengkapi dengan lampu neon tenggelam yang melantas melalui air menambah lagi keindahan persekitraran terutama pada waktu malam.

 

Taman bunga di sekeliling masjid ini yang dihias secara professional menambahkan lagi keindahan persekitaran dengan tumbuhan daun, belukar hiasan dan halaman rumput dengan air pancut dan bangku granit. Juga laluan kecil dibuat daripada jubin Jepun dengan lampu yang menerangi waktu malam.

 

Blok Pentadbiran

 

Blok  pentadbiran terletak di bawah Dewan Sembahyang Lelaki. Blok ini dilengkapi dengan alat penyaman udara sepenuhnya dan terbahagi kepada kepada beberapa bahagaian iaitu :

  • Bahagian Pentadbiran

  • Dewan Serba Guna

  • Bilik Persidangan Orang Kenamaan

  • Perpustakaan

  • Bilik Istirihat Di Raja

  • Ruang Menunggu dan Tempat Makan Orang Kenamaan

 

a) Bahagian Pentadbiran

 

Terdapat 58 orang pegawai kerajaan dan 168 pekerja swasta bekerja dalam bahagian ini. Bahagian ini dikawal dan diselanggarakan oleh Pegawai-pegawai Agama Kanan.

 

 

 

b) Dewan Serba Guna

 

Dewan ini boleh manampung sehingga 200 orang dan digunakan bagi majlis-majlis yang berkaitan dengan kebajikan masyarakat dan hal ehwal keagamaan seperti seminar, ceramah agama, kursus sebelum perkahwinan, bimbingan dan kaunseling dan sebagainya. Dewan ini dilengkapi dengan system akustik dan system P.A. serta kelengkapan asas dan hiasan dari kayu Narra buatan Filipina dan permaidani yang direka dan diimpot dari Amerika Syarikat

 

 

 

c) Bilik Persidangan Orang-Orang Kenamaan

 

Bilik ini boleh menempatkan  seramai 30 orang. Panel dinding, pintu dan perabot dalam bilik ini direka dari kayu Narra. Sebuah ruang menunggu bagi orang kenamaan disediakan bersebelahan bilik ini.

 

d) Perpustakaan

Perpustakaan ini dinamakan sebagai Perpustakaan Ismail bin Omar Abdul Aziz iaitu disempenakan dengan nama bekas Mufti Kerajaan Brunei Allahyarham Pehin Datu Seri Maharaja Dato Seri Utama Awg Haji Ismail bin Omar Abdul Aziz. Perpustakaan ini mempunyai dua jenis koleksi iaitu Koleksi Khas dan Koleksi Umum. Koleksi Khas terdiri daripada beberapa kumpulan Thesis, Manuskrip, Ensiklopedia, Kamus, Journal dan juga sebahagian kecil koleksi Brunei yang biasanya digunakan sebagai rujukan di dalam perpustakaan sahaja. Manakala Koleksi Umum pula merupakan koleksi bacaan umum yang mempunyai lebih kurang 5000 tajuk (22,000 naskhah buku) dalam berbagai aspek yang bersangkut paut dengan Islam. Perpustakaan ini dibuka kepada umum dan mereka sangat-sangat dialu-alukan untuk menggunakan perpustakaan ini bagi mendalami pengetahuan mereka dalam berbagai bidang. Perpustakaan ini dibuka semasa waktu bekerja bemula jam 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari dan dari 2.00 hingga 4.00 petang.

 

e)  Bilik Istirihat Di Raja

Bilik ini digunakan sebagai tempat istirihat bagi Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan juga Tetamu Di Raja yang lain apabila berangkat berkunjung ke Masjid ini. Bilik ini di reka bentuk dengan hiasan granit tergilap, marmar, perabot kayu Narra, dan siling yang mempunyai kerajang emas. Bilik ayer serta tempat wuduk khas juga disediakan berdekatan bilik ini.

f)   Bilik Menunggu dan Ruang Makan Orang Kenamaan

Bilik ini boleh menampung lebih kurang 30 orang tetamu kenamaan dan juga pegawai-pegawai kanan kerajaan. Bersebelahan bilik ini, disediakan ruang makan dan juga dapur dengan kelengkapan terbaru.

••


 || Pengenalan | Pentadbiran | Peraturan & Waktu Lawatan | Rancangan Takmir | Album / Diari | Maklumat Terkini   Struktur Bangunan | Buku Pelawat | Halaman Utama ||

|| Home | Government | Ministries and Departments | About Brunei | On-line News | Important Contacts | Related Sites ||